2011 Calendar of Events

LIMA 2011


 

Majlis Penutupan Karnival LAngkawi Geopark

Langkawi 4 Jun 2011 : Karnival Langkawi Geopark harus dijadikan sebagai acara tahunan Langkawi. Itu adalah antara intipati ucapan YB. Dato’ Dr James Dawos Mamit dalam Majlis penutup Karnival Langkawi Geopak di sini semalam. Dawos juga berharap sistem ekologi dan alam sekitar Langkawi dapat tersus dipelihara agar status Geopark dapat terus kekal di Langkawi. Karnival yang berlangsung bermula 31 Mei itu telah  menutup tirainya malam tadi dengan pelbagai acara menarik termasuklah persembahan bunga api selama tiga minit selain turut dimeriahkan dengan mini konsert yang melibatkan artis tempatan negara anataranya artis irama asli, Noraniza Idris. Turut hadir dalam majlis tersebut , Pengurus Besar LADA, Y.Bhg Dato’ Azman Bin Umar. Semasa ditemui, Azman  turut melahirkan perasaan gembira dan berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh semua pihak. Beliau turut mengucapkan terima kasih penghargaan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan karnival yang berlangsung selama hampir seminggu ini. Tanpa kerjasama daripada semua pihak tidak mungkin karnival ini dapat dijayakan.

Hari terakhir karnival semalam menyaksikan pelbagai acara menarik seawal 9 pagi lagi sehingga lewat malam. Antaranya termasuklah acara Konvoi Motosikal yang melibatkan hampir 200 motosikal pelbagai jenis, Photorace, Sepak Raga Tuju, Pertandingan Ayam Serama yang melibatkan 100 ekor ayam, Pertandingan Pakaian Beragam Kanak-kanak dan Pertandingan Memasak yang berlangsung pada pagi tersebut. Manakala, pada sebelah petang acara diteruskan lagi dengan Pertandingan Gubahan, Pertandingan teh tarik dan Pertandingan Ukiran Ais atau Ice Carving. Sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pengunjung telah menghangatkan suasana di Dataran Lang yang nyata telah menarik pelabagai lapisan masyarakat untuk sama-sama meluangkan masa dengan aktiviti yang disediakan. Hadiah yang lumayan yang disediakan penganjur  turut menjadi faktor penarik peserta bagi menyertai acara-acara tersebut.

Tinjauan mendapati, majlis penutup Karnival Langkawi Geopark 2011 turut diserikan lagi dengan ukiran ais berbentuk tulisan “KARNIVAL LANGKAWI GEOPARK 2011” yang telah diukir oleh semua wakil-wakil tukang masak hotel sekitar Langkawi. Ternyata usaha mereka seawal jam 6 petang membuahkan hasil apabila YB Dato’ Dr. James Dawos serta semua tetamu kenamaan turut melawat serta bergambar di ukiran tersebut. Salah seorang ketua tukang masak yang ditemui turut berbangga dengan hasil yang diperolehi walaupun mengalami beberapa kesukaran sewaktu proses kerja ukiran tersebut. Ukiran ais tersebut  turut menarik minat semua pengunjung yang tidak henti-henti bergambar sehingga majlis tamat. Idea pihak penganjur dalam menampilkan kelainan pada majlis penutup karnival nyata membuahkan hasil yang mungkin tidak dapat dilupakan semua pengunjung terutamanya kepada pengunjung dari negara lain.

Pertandingan 1 Malaysia Langkawi Bowling Tour

Langkawi 2 Julai 2011 : Tuah badan, inilah yang dapat dikatakan apabila Mohamad Azli Azizan dari Pulau Pinang apabila muncul juara pertama bagi Pertandingan 1 Malaysia Langkawi Bowling Tour 2011 anjuran One Perfect Event dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini semalam.

Azizan yang berjaya menewaskan 98 peserta lain pada pertandingan tersebut telah merangkul hadiah sebanyak RM 1500. Azizan yang ditemui turut melahirkan perasaan gembira atas kemenangan yang diperolehi. Beliau tidak menyangka penyertaan beliau di saat akhir akan membuahkan hasil selain menyimpan hasrat untuk menyertai kejohanan yang sama pada masa akan datang bagi terus mempertahankan kejuaraan beliau, katanya ketika yang menerima hadiah daripada Timbalan Pengurus Besar Pengurusan LADA, Tuan Haji A. Rahman Zainol.

Sementara itu, A. Rahman berkata, LADA akan sentiasa menyokong sebarang bentuk penganjuran sukan yang dapat menarik minat masyarakat pelbagai kaum sekaligus dapat memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di sini. Menurut beliau lagi, LADA juga berharap acara sedemikian yang dapat menarik penyertaan peserta dalam dan luar Langkawi itu dapat dijadikan acara tahunan pada masa depan. Turut hadir, Ketua Penolong Pengurus Acara & Promosi Pelancongan LADA, Azmil Munif Bukhari. Acara tamat sekitar jam 6 petang.