Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia

PEMBANGUNAN PERIKANAN LAUT
Aktiviti 1 : Insentif Pelbagai Peralatan

1. Objektif Projek

   Tujuan utama aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk :-

  • Mengurangkan bilangan golongan nelayan miskin dan termiskin melalui program bantuan bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan keluarga.
  • Meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan miskin dan termiskin ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan artisenal / pantai.
  • Memberi suntikan teknologi kepada sektor perikanan pantai ke arah memodenkan kumpulan nelayan artisenal
  • Memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan.

2. Komponen Projek

  • Projek ini melibatkan pemberian Geran bantuan kepada nelayan yang tersenarai sebagai nelayan miskin dan termiskin.
  • Geran bantuan adalah bertujuan untuk membiayai kos pembelian perkakas / peralatan bernilai tidak melebihi RM10,000/orang. Dengan bantuan ini dijangka nelayan-nelayan miskin dan termiskin akan dapat meningkatkan pendapatan mereka, kerana mereka menjadi ‘owner operator’ dan tidak hanya menjadi awak-awak bot.
Aktiviti 2 : Pembangunan Produk Baru Perikanan

1. Objektif Projek

   Tujuan utama aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk :-

  • Untuk membangunkan dan memajukan produk-produk sedia ada yang dihasilkan oleh usahawan atau produk baru hasil penyelidikan oleh MARDI atau lain-lain badan.
  • Untuk menaiktaraf kaedah pemprosesan, kualiti, piawaian, jenama, pembungkusan, kaedah persembahan, pernyataan komposisi nutrien, pelabelan dan pengeluaran produk yang lebih berdaya saing.
  • Untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan konsumer melalui pengeluaran produk mengikut manual serta amalan pemprosesan yang berkualiti dengan mempunyai persijilan GHP/GMP/Halal/HACCP bagi memastikan pengeluaran yang konsisten, berkualiti, selamat dimakan dan boleh dipercayai.
  • Menyediakan bantuan melalui satu pakej yang lengkap sebagai tambahan kepada pelaburan yang telah dibuat oleh usahawan terpilih dalam setiap aktiviti di peringkat pengeluaran produk yang bermula dari penyediaan premis, penerimaan bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan, pemasaran serta pemindahan teknologi (TOT).

2. Komponen Projek

   Pembangunan produk dan pemprosesan akan ditumpukan melalui:

  • Penyediaan premis yang berkualiti.
  • Penyediaan peralatan pemprosesan yang mencapai standard pengeluaran produk yang ditetapkan.
  • Mengujicuba pengeluaran secara semi komersil sebelum dipindahkan kepada usahawan.

   Penjelasan komponen projek adalah seperti berikut :

  • Penyediaan premis yang berkualiti.

Perusahaan kecil-kecilan bagi menghasilkan produk-produk nilai ditambah dalam sektor perikanan biasanya dilakukan di dalam kawasan rumah dan tidak mengamalkan kaedah pemprosesan yang higenik. Dengan penguatkuasaan berbagai-bagai peraturan dan undang-undang sama ada oleh kerajaan Malaysia atau di peringkat global, maka sudah sampai masanya kaedah pemprosesan secara higenik diperkenalkan secara intensif di dalam RMKe-9.

Untuk mengubah keadaan pengusaha-pengusaha tersebut sangatlah sukar kerana ia melibatkan perubahan sikap, minda dan memerlukan tambahan dalam pelaburan mereka. Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memperkenalkan kaedah ini melalui penyediaan premis-premis yang berkualiti dengan cara meningkatkan lagi kemudahan yang ada di PPHP LKIM. Pendekatan ini akan dapat menjadi penggalak kepada usahawan-usahawan sedia ada untuk menukar kaedah pemprosesan mereka menjadi lebih higenik dan teratur.

  • Penyediaan peralatan pemprosesan yang mencapai standard pengeluaran produk yang ditetapkan.

Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memajukan industri perikanan, penggunaan peralatan moden yang mengikut spesifikasi dalam aktiviti pemprosesan makanan adalah penting bagi menjamin mutu serta keselamatan produk yang dihasilkan. Memproses makanan secara mekanisasi sepenuhnya akan dapat mengurangkan pencemaran makanan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran produk.

Sementara itu, peralatan bagi program sanitasi premis, peralatan dan pekerja juga akan diberi keutamaan bagi memenuhi konsep sanitasi dalam GHP. Kelengkapan sanitari seperti apron, sarung tangan, bahan pencuci, dan lain-lain peralatan untuk mensanitasi juga akan disediakan. Penyediaan peralatan pemprosesan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta mematuhi amalan-amalan yang digariskan dalam Manual Pemprosesan akan memudahkan loji mereka untuk mendapatkan persijilan seperti GHP, GMP, Halal dan HACCP. Dengan adanya HACCP, produk-produk mereka akan lebih berdaya saing di pasaran terbuka.

  • Mengujicuba pengeluaran produk secara semi komersil sebelum dipindahkan kepada usahawan.

Pembangunan produk akan dilakukan ke atas produk yang telah diuji dan disahkan boleh dikomersilkan oleh MARDI atau badan-badan lain yang terlibat. Produk-produk yang telah berjaya diperingkat R&D makmal akan diuji pengeluarannya secara semi komersil di premis-premis yang disediakan oleh LKIM. Setelah ujicuba pengeluaran secara semi komersil berjaya dilakukan, teknologi akan dipindahkan kepada usahawan yang berminat untuk mengkomersilkannya. Pengeluaran secara komersil ini akan dibuat di PPHP, di loji pemprosesan PNK dan kawasan IKS yang disewakan kepada usahawan.